Khamis, 16 Julai 2009

Nikah Mutaah or Nafkah Mutaah


Malu rasenya ketika seorang kawan minta penjelasan berkenaan nikah mutaah...nafkah mutaah pernah lah dengar...ni nikah mutaah plak, tanya balik kenapa persoalan ini ditimbulkan? rupa2nya kawan nie terbaca dalam surat khabar, jerat percintaan antara gadis tempatan dengan pemuda dari Asia Barat. Bunyinya macam seronok jer, apa salah jatuh cinta dengan orang asing, cinta kan tak mengenal sempadan lagi pun yang bercinta tu sesalunya golongan terpelajar..apa yang nak dijadikan isu sangat, bukan perkara baru orang tempatan menjalin asmara dengan warga asing yang Indonesia ada, Bangladesh ada, Nepal, Vietnam, Paskitan dan macam-macam bangsa lagi. Isu utama mestilah berkenaan kenegaraan dan persempadanan geografi

Namun cinta dengan pemuda dari Asia Barat nie lain pulak ceritanya, isu nikah mutaah ditimbulkan... Apakah Nikah Mutaah?
Nikah mutaah adalah hukumnya adalah HARAM.. berikut penjelasannya;

NIKAH atau kahwin mutaah ialah kahwin sementara atau akad nikah yang dilakukan dengan syarat ditentukan tempoh, seminggu, sebulan, dua tahun dan sebagainya. Ia berasal daripada tradisi Arab jahiliah. Pada waktu berkenaan seorang pedagang, misalnya, apabila mengunjungi kota Makkah, dia memerlukan seorang perempuan sebagai teman dalam tempoh tertentu.Dia boleh berkahwin sementara dengan perempuan Makkah selepas ditentukan masa dan bayarannya. Islam mengharamkan nikah seperti ini (Dusuki Ahmad, 1988: 243). Antara sebab ia tidak dapat diterima dan diharamkan ialah ia tidak menepati semangat perkahwinan dan sistem kekeluargaan Islam. Nikah mutaah tidak mampu menjadikan perhubungan dan kehidupan suami isteri penuh dengan kebahagiaan dan kemesraan.Ia juga tidak mampu mewujudkan perasaan kasih sayang dan belas kasihan sesama suami isteri. Anak yang lahir juga tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya. Manakala taraf wanita menjadi rendah dan mudah dieksploitasikan. Islam mengharamkan nikah mutaah kerana sebab negatif berkenaan.Ayat 24 surah an-Nisa bermaksud: “…kemudian mana-mana mereka [iaitu perempuan yang menjadi isteri kamu] yang kamu nikmati percampuran dengannya, maka berikanlah mereka mas kahwinnya (dengan sempurna), sebagai suatu ketetapan.”Ayat al-Quran berbentuk umum ini digunakan untuk nikah mutaah. Nikah mutaah pada mula dibenarkan pada masa permulaan Islam, tetapi kemudian diharamkan.Menurut Ibn Rushd, riwayat hadis daripada Rasulullah secara mutawatir mengharamkan nikah itu.Perselisihan yang timbul hanya mengenai masa ia diharamkan sahaja. Ada yang menyatakan pada hari Khaibar, pembukaan Kota Makkah, perang Tabuk, haji wida dan sebagainya. Bagaimanapun, pendapat umum menyatakan Ibnu Abbas menghalalkan nikah mutaah. Beliau turut berdalil dengan ayat al-Quran di atas. Diriwayatkan bahawa Ibnu Abbas berpendapat nikah mutaah adalah semata-mata rahmat Allah kepada umat Muhammad dan sekiranya Umar tidak melarangnya, nescaya zina tidak berlaku kecuali dari kalangan orang jahat sahaja (Ibn Rushd, II: 97). Secara umum seluruh mazhab empat mengharamkan nikah mutaah. Ini kerana ia menetapkan had waktu sesuatu perkahwinan. Hanya golongan aliran Syiah yang minoriti membenarkannya. Mungkin ia sebagai tarikan untuk menyokong aliran terbabit. Dengan itu masyarakat Islam tidak boleh menghalalkannya kerana sudah sabit pengharaman nikah mutaah. Mengenai kemungkinan zina dapat dielakkan dengan nikah mutaah ia tidak dapat dinafikan seperti daripada kata-kata Ibnu Abbas itu.Bagaimanapun, seperti yang dinyatakan di atas, nikah mutaah tidak mencapai hikmah di sebalik perkahwinan. Ia mungkin dapat membendung nafsu manusia semata-mata, tetapi gagal mencapai hikmah perkahwinan yang lain. Rasulullah sendiri tidak pernah berkahwin secara nikah mutaah. Dengan itu sekiranya kita benar-benar mahu mengambil Baginda sebagai contoh teladan yang baik (uswah hasanah), nikah mutaah sudah tentu tidak diikuti. Dengan itu, pendapat majoriti di kalangan mazhab Islam hendaklah diterima dan diikuti kerana ia mempunyai asas fiqah yang benar dan sesuai dengan hikmah perkahwinan itu sendiri. Usahlah diikuti pendapat minoriti yang sesuai dengan rasa hati dan keinginan semata-mata.

So ape beza dengan Nafkah mutaah?

Mutaah ialah sejumlah harta di mana suami wajib memberi kepada bekas isterinya yang pernah disetubuhi jika perceraian itu bukan berpunca dari isteri dan bukan kematian suami. Dalam Al-Quran terdapat beberapa ayat mengenai Mutaah: “ Kepada wanita-wanita yang diceraikan (hendaklah diberikan oleh suaminya) Mutaah menurut yang ma’aruf sebagai suatu kewajiban bagi orang-orang yang bertaqwa”. (Surah Al-Baqarah : 241)
Dalam ayat yang lain pula Allah swt menyatakan: “Tidaklah kamu bersalah jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu sebelum kamu bercampur dengan mereka atau sebelum kamu menetapkan mas kahwin untuk mereka. Walaupun demikian, hendaklah kamu memberi Mutaah (pemberian saguhati) kepada mereka iaitu suami yang senang menurut kemampuannya dan suami yang miskin menurut kemampuannya sebagai pemberian saguhati menurut yang patut lagi menjadi satu kewajiban atas orang-orang yang mahu berbuat kebajikan”. (Surah Al-Baqarah : 236)
Firman Allah swt : “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan yang beriman kemudian kamu ceraikan mereka sebelum menyentuhnya, maka tiadalah kamu berhak terhadap mereka mengenai sebarang eddah yang kamu boleh hitungkan masanya. Oleh itu, berilah Mutaah (pemberian saguhati) kepada mereka dan lepaskan mereka dengan cara yang sebaik-baiknya”. (Surah Al-Ahzab : 49)
Mutaah itu boleh sama ada berbentuk pakaian, barang-barang atau wang sesuai dengan keadaan dan kedudukan suami. Islam tidak menetapkan kadar mengenai Mutaah ini. Dasar penetapannya bergantung kepada keredhaan dan persetujuan suami isteri. Walau bagaimanapun, jika kadarnya menjadi pertelingkahan suami isteri, maka Mahkamah Syariah akan memutuskan kadar yang patut berdasarkan kemampuan suami.
Dalam kes Tengku Anum Zaharah lwn Dato Dr. Hussein (1980, Jld.3 J.H.) Peguam bagi pihak menuntut (isteri) telah merujuk kepada kes Hasan bin Ali bin Abi Talib yang mana semasa beliau menjadi khalifah telah menceraikan isterinya dan memberi 10,000 dinar sebagai Mutaah. Peguam iu berhujah pihak yang kena tuntut (suami) seorang yang berkemampuan. Yang Arif Kadi Besar selangor (pada masa itu) telah merujuk surah Al-Ahzab ayat 49 dan memutuskan pihak yang menuntut (isteri) berjaya menuntut Mutaah sebanyak RM25,200 sebagaimana yang dituntutnya.
Apa yang nyata berdasarkan kes ini, walaupun seseorang wanita itu mempunyai pendapatan yang baik, ia tetap menuntut haknya kerana perceraian itu atas kehendak suami.
Dalam Islam pemberian Mutaah ini bertujuan:
Seseorang isteri lazimnya bergantung hidup kepada suami. Oleh itu apabila ada pemberian Mutaah ini, maka bekas isteri bolehlah menggunakannya sebagai modal untk berdikari dan memulakan hidup baru selepas bercerai.
Menghilangkan rasa malu dan prasangka buruk terhadap isteri. Pada kebiasaaannya terdapat anggapan masyarakat bahawa seseorang wanita yang diceraikan kerana ada sesuatu aib pada dirinya. Oleh itu pemberian Mutaah itu bermakna perceraian itu bukan berpunca dari bekas isteri.
Untuk menentukan perceraian itu dibuat secara baik dan sebagai penghargaan suami terhadap isteri atas sumbangan dan peranan yang diberikan oleh isteri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan